5th August,
2007
KOTA KINABALU: Seorang guru
bakal mencatat sejarah dalam Malaysia Book Of Records
untuk kali ketiga secara solo dengan meluncur
menggunakan Inline-Skates tanpa henti selama 18 jam.
Harthono Isnanthomo, 42, dari SK. Sri Tanjung Papat
2, Sandakan akan melaksanakan misi itu pada 20 dan 21
Ogos bertempat di tingkat bawah, ruang legar Kompleks
Karamunsing bermula jam 10 pagi hingga 4.20 pagi.
Pengerusi Penganjur, Sharifah Arif dari Satura Jaya
Enterprise yang juga isteri kepada Harthono berkata
projek ini merupakan hadiah istimewa kepada seluruh
rakyat Sabah khasnya dan rakyat Malaysia amnya.
“Bersempena dengan sambutan 50 tahun Hari
Kemerdekaan, Harthono akan menterjemahkan slogan keramat
‘Yakin Boleh’ seperti yang sering dilaungkan oleh bekas
Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohammad serta
bersama-sama membina insan yang ‘Cemerlang, Gemilang dan
Terbilang’ seperti yang diharapkan oleh Perdana Menteri
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,” kata Sharifah pada
sidang akhbar di Kompleks Karamunsing di sini
kelmarin.
Sehubungan itu, Sharifah turut menyeru kepada orang
ramai supaya hadir pada hari bersejarah itu untuk
memberi sokongan moral kepada Harthono. Semoga usaha ini
akan mendorong para belia agar terlibat sama dalam
membentuk jati diri dalam bidang masing-masing dan
sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat.
Sharifah juga berterima kasih di atas sokongan yang
diterima daripada pelbagai pihak. Sesungguhnya
sokongan-sokongan ini merupakan satu suntikan semangat
dan satu dorongan motivasi khususnya kepada Harthono
sendiri. Semoga apa yang diimpikan oleh semua pihak
dapat direalisasikan menjadi kenyataan.
Menurut Sharifah, sekiranya projek “Meluncur
Menggunakan Inline-Skates Tanpa Henti” ini berjaya
dilaksanakan, Harthono akan meneruskan misi kedua iaitu
“Merentas Malaysia Menggunakan Inline-Skates” iaitu dari
Perlis ke Kota Kinabalu. Hasrat ini sepatutnya dirancang
pada tahun lalu lagi, namun atas sebab-sebab pengurusan
dan kekurangan dana maka ianya terpaksa
ditangguhkan.
Harthono sebelum ini mencatatkan kejayaaan pertama
dalam Malaysia Book Of Records dengan “Mengukir Jalur
Gemilang Terbesar di Malaysia” pada tahun 2004 yang mana
ukiran itu dibuat pada sebuah tebing yang terletak di
Jalan Buli Sim-sim, Sandakan berukuran 6 meter lebar dan
11 meter panjang.
Kejayaan kali kedua dicatatkan pada 30 Ogos 2005 di
mana beliau “Berjalan Di Atas Eskalator Tanpa Henti”
selama 17 jam 20 minit di Pusat Membeli-belah Centre
Point dekat sini.
Projek ini ditaja oleh Kompleks Karamunsing,
Skateline (Malaysia) Sdn Bhd, Majlis Sukan Negeri
Sembilan, Sawit Kinabalu, Pewaris Gua Gomantong Sdn Bhd
dan Kinabalu Daya Hotel.
Sementara itu, Harthono sendiri berharap agar orang
ramai dapat hadir pada hari bersejarah itu nanti dengan
membawa serta mengibarkan jalur gemilang sebagai memberi
dorongan serta sokongan moral kepadanya.
Beliau juga berharap agar apa yang dilakukannya itu
membuka mata pihak-pihak tertentu bahawa beliau mampu
menjayakan misi itu menjadi kenyataan.
Manakala Pengarah Urusan Skateline Sdn Bhd, Eusoffe
Chua berkata, pihaknya menaja Harthono sebagai
mempromosikan inline-skates adalah suatu sukan
berorientasikan keluarga, menyihatkan, selamat dan
menyeronok-kan.
“Misi Harthono ini adalah untuk mempromosikan sukan
ini kepada umum dan saya berasa amat bangga dan gembira
dengan kegigihan beliau (Harthono) untuk merealisasikan
misi ini. Kami sentiasa akan memberi sokongan padu
kepada beliau,” kata Eusoffe. |